HUKUM TERSALAH BERBUKA PUASA AWAL KERANA AZAN DI RADIO
Jawapan daripada Mufti Wilayah berkaitan berbuka puasa awal kerana DJ radio tersalah mengumandangkan azan awal daripada waktu. Apakah puasa perlu diqadha’ atau tidak?
Telegram https://Hukam hakam Puasa
Semoga jawapan yang dikemukakan oleh Pejabat Mufti Wilayah ini menjadikan anda seorang tenang jiwa dan lapang dada kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya berpandukan kepada neraca syariat dan fiqah Islami.
Puasa bermaksud menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari. Puasa tidak berakhir dengan petanda azan oleh muazzin.
Baca juga : panduan-solat-tarawih
Berkaitan orang yang berbuka puasa kerana menyangka matahari telah terbenam, maka para ulama’ berbeza pandangan dalam hal ini.
TERDAPAT DUA PENDAPAT TERSALAH BERBUKA PUASA AWAL KERANA AZAN DI RADIO
Pertama
jumhur ulama’ dari kalangan Hanafi, Maliki, Syafie dan ramai di kalangan ulama’ Hanbali menyatakan bahawa puasa tersebut batal dan wajib diqadha’.
Kedua
hukumnya tidak batal puasa. Inilah pendapat sebahagian mazhab Hanbali, al-Muzani dan Ibn Khuzaimah daripada ashab al-Syafie dan juga pandangan ulama’ Zahiri.
Hujah dan Dalil
Disini disertakan pandangan 4 mazhab di kalangan jumhur:
Mazhab Hanafi
Imam Al Kasani dari kalangan Hanafiah menyebutkan di dalam kitabnya Bada’i al-Sana’i fi Tartib al-Syarai’, 2/100 berkata:
"Jika seseorang bersahur dengan menyangka bahawa fajar belum terbit, sedangkan sebenarnya sudah terbit atau berbuka dengan menyangka bahawa matahari telah tenggelam, padahal sebenarnya ia belum tenggelam, maka wajib baginya mengqadha puasanya tersebut tanpa perlu membayar kaffarah. Ini kerana dia tidak membatalkan puasanya tersebut secara sengaja tetapi tersilap."
Mazhab Maliki
Ibn Abdi al-Barr dari kalangan Malikiyah menyebutkan dalam kitabnya Al-Kaafi Fi Fiqhi Ahli Al-Madinah, 1/350:
"Daripada sunnah ialah menyegerakan berbuka dan menta’khirkan sahur. Pada siang hari maka wajib baginya berpuasa bermula daripada terbit fajar sehingga tenggelam matahari. Apabila ia yakin telah tenggelamnya matahari, maka halallah baginya berbuka. Sebaliknya diwajibkan baginya mengqadha puasa sesiapa yang berbuka dengan sangkaan matahari telah tenggelam dengan sebab lindungan awan atau lainnya padahal belum tenggelam.
Mazhab Syafie
Imam al-Nawawi menjelaskan:
Maksudnya: “Sekiranya, seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari, ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul, ternyata telah timbul, dikira batal puasanya atas nas yang sahih dan ianya diputuskan oleh jumhur ulama’.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/363)
Begitu juga hukum yang sama iaitu batal puasa bagi yang menyangka tenggelam matahari, sedangkan hakikatnya belum tenggelam, boleh ditemui dalam Nihayat al-Muhtaj, 3/174; Fath al-Mu’in, hlm. 269; Mughni al-Muhtaj, 2/161
Mazhab Hanbali
Ibnu Qudamah dari kalangan Hanabilah menyebutkan dalam kitabnya Al-Mughni, 3/145
Maksudnya: "Dan setiap yang berbuka sedangkan puasa wajib baginya seperti orang yang berbuka tanpa uzur, dan yang berbuka dalam sangkaan bahawa fajar belum terbit, sedangkan sudah terbit atau sangkaan matahari telah tenggelam padahal belum, atau orang yang lupa niat puasa dan seumpamanya maka dia wajib untuk melanjutkan puasanya tersebut, tanpa ada khilaf sepengetahuan kami berkaitan hal ini
Hujah dan Dalil Yang Menyatakan Tidak Batal
Disini disertakan sebahagian daripada hujahMazhab Hanbali
Al-Mardawi dari kalangan Hanabilah mengatakan dalam kitabnya Al-Insaf Fi Ma’rifati al-Rajih Min al-Khilaf, 3/310:
Maksudnya: “Dan jika seseorang makan dengan menyangkakan telah tenggelam matahari, kemudian syak dan sentiasa dalam syaknya, maka tidaklah perlu dia qadha’ puasa tersebut. Dan inilah yang dijazamkannya. Dia berkata pada kaedah 159: Harus berbuka puasa dengan sebab sangkaan berat matahari telah tenggelam pada zahir mazhab.
Mazhab Zahiri
Ibnu Hazm Al-Andalusi menyebutkan dalam kitabnya Al-Muhalla Bi Al-Athar, 4/356:
Maksudnya: “Siapa yang menyangka bahawa masih malam lantas dilakukan sesuatu daripada demikian itu (makan atau minum), sedangkan sebenarnya sudah waktu Subuh atau pagi, atau dia menyangka matahari telah tenggelam, lantas dilakukan sesuatu daripada demikian itu (makan atau minum), tetapi sebenarnya belum tenggelam lagi, maka puasanya setiap mereka yang kami nyatakan adalah sempurna. Ini berdasarkan firman Allah SWT: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya.
Jawapan Kepada Hadith al-Bukhari
Lafaznya seperti berikut:
عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَتْ: «أَفْطَرْنَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ غَيْمٍ، ثُمَّ طَلَعَتِ الشَّمْسُ
Maksudnya: "Daripada Asma’ binti Abi Bakr R.Anhuma berkata: ‘Kami telah berbuka puasa pada zaman Nabi SAW pada hari mendung, sedangkan selepas itu matahari masih lagi muncul.”
Hadith ini adalah hadith sahih riwayat al-Bukhari, no. 1959.
Untuk menjawab isu ini, alangkah baiknya kita melihat perawi yang menyebut selepas lafaz hadith ini. Antara lain berkata:
قِيلَ لِهِشَامٍ: فَأُمِرُوا بِالقَضَاءِ؟ قَالَ: «لاَ بُدَّ مِنْ قَضَاءٍ»
Maksudnya: "Ditanya kepada Hisham: ‘Maka apakah mereka diperintahkan untuk qadha’? Jawabnya ‘Mesti qadha’."
Tarjih
Setelah menilai dan meneliti kedua-dua pendapat, kami lebih cenderung kepada batalnya puasa dan wajib bagi mereka yang tersalah berbuka awal sedangkan matahari belum tenggelam, hendaklah diqadha’. Ini kerana beberapa hujah:
- Umum nas al-Qur’an Surah al-Baqarah ayat 187
- Kaedah fiqh menyebut الاصل في كل حادث تقديره بأقرب زمان (Asal bagi sesuatu perkara ditentukan dengan waktu yang paling hampir). Berbuka puasa yang bukan pada waktunya menyebabkan batal puasa kerana waktu yang hampir dengannya ialah masih lagi belum masuk waktu berbuka yakni perlu terus berpuasa
- Ini juga selari dengan kaedah fiqh لا عبرة بلظن البين خطؤه (Tidak diiktibarkan dengan zhan atau sangkaan yang nyata salahnya). Dalam kes ini, selepas diberitahu waktu Maghrib belum masuk, dan ternyata benar, makan zhan atau ghalabat al-zhan yang berlaku sebelum ini iaitu masuk waktu berbuka telah nyata salah dan silapnya. Maka yang berbuka sebelum waktu hendaklah mengqadakkan puasa yang terbatal itu selepas Ramadhan
- Imam Malik menyatakan di dalam al-Muwatta’, 1/303:
Maksudnya: “Daripada Khalid bin Aslam bahawa Umar Ibn al-Khattab pernah berbuka ketika mendung di petang bulan Ramadhan kerana menyangka saat itu matahari sudah tenggelam. Lalu datanglah seseorang mengkhabarkan bahawa matahari masih ada. Umar pun berkata: ‘Masalah yang mudah. Kita pun hanya berijtihad”’. Imam Malik menjelaskan pandangannya berkenaan kata-kata Umar iaitu ‘masalah yang mudah’ adalah bermaksud qadha’. Wallahua’lam.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:
Dan para ulama sepakat bahawa waktu berbuka adalah apabila telah dipastikan matahari terbenam, baik dengan cara melihatnya mahupun dengan khabar daripada dua orang yang adil” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 4/199)
Maka, kami berpendapat bahawa usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka puasa adalah amat baik. Tetapi, perlulah bagi pihak penyiaran radio atau TV lebih teliti dan cermat pada masa akan datang supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Wallahua’lam
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
18 Jun 2017 bersamaan 23 Ramadhan 1438H
Baca juga :
0 Ulasan